Wan Po tokoh seni ukir tersohor meninggal dunia

BESUT 16 Mac – Tokoh Seni Negeri Terengganu, Wan Mustaffa Wan Su, 80, atau lebih dikenali dengan panggilan Wan Po meninggal dunia di rumahnya di Kampung Alor Lintang dekat sini kira-kira pukul 10 pagi tadi akibat penyakit barah usus.

Adiknya, Wan Rusli Wan Su memberitahu, abangnya itu yang menderita barah usus sejak dikesan Oktober tahun lalu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alor Lintang pukul 2 petang.

Tokoh Seni Negeri tahun 2003 itu adalah anak kepada pengukir tersohor tanahair iaitu Wan Su Wan Othman dan Wan Po telah dinobat sebagai Adiguru Kraf Ukiran Kayu dan Anugerah Karyawan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia tahun 2007.

Allahyarham yang dilahirkan pada 5 Mei 1939, mula melibatkan diri dalam bidang ukiran sejak tahun 1969 dan telah didedahkan dengan ilmu ukiran kayu di Balai Seni Wan Su milik bapanya.

Atas kegigihanya itu, beliau menerima kepercayaan bapanya untuk meneruskan usaha dalam bidang ukiran kayu dengan penyerahan bengkel tersebut kepada beliau yang kemudian dikenali dengan nama Balai Seni Wanpo.

Hasil ukiran tangan Wan Po boleh dilihat pada bangunan-bangunan pejabat, muzium, dan masjid seperti Istana Maziah Terengganu, Istana Melawati Putrajaya, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid KLIA, Universiti Teknologi Malaysia, Masjid Ulul Albab Jerteh, Besut serta banyak lagi.

Wan Po juga telah dilantik sebagai mentor bagi Program Seni Kraf Warisan oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) khusus untuk memberi latihan dan bimbingan kepada belia rakyat Terengganu dalam ukiran kayu.

Satu lagi pengiktirafan yang beliau terima ialah dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah melantiknya sebagai seorang pengkaji istilah bahasa bagi bidang ukiran kayu berdasarkan kepakaran dan pengalaman – UTUSAN ONLINE