Tak perlu bimbang, hanya baja organik

PENDUDUK Kampung Parit Pak Intan, Parit Sikom, Pontian, tidak perlu bimbang dengan kesan pembuangan kilang terbiar di kawasan itu kerana ia hanya membabitkan baja organik.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, orang ramai, khususnya penduduk Kampung Parit Sikom dinasihatkan jangan mempercayai berita yang tular mendakwa premis itu mengandungi bahan kimia tercemar.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah beberapa kali membuat pemeriksaan di premis berkenaan sejak awal 2018 sehingga 14 Mac lalu.

“Hasil pemeriksaan, kami dapati kilang itu hanya menempatkan bahan mentah dan baja, namun disebabkan kaedah penstoran yang tidak sempurna, ia menjadi isu hingga kini, ” katanya.

Mustafa berkata, sehubungan itu JAS mengeluarkan notis arahan kepada pengusaha terbabit untuk melakukan kerja pembersihan sebelum premis itu ditutup dan berpindah ke lokasi lain.

Menurutnya, notis berkenaan berkuat kuasa serta merta sehingga Mei ini.

“Semalam, JAS sudah memberi penjelasan mengenai bahan yang ditemui di kilang berkenaan kepada penduduk dan masyarakat setempat di hadapan premis berkenaan.

“Berikutan itu, kami berharap orang ramai tidak gusar atau membangkitkannya di laman sosial kerana kerja pembersihan dipantau JAS dengan kerjasama polis,” katanya.

Difahamkan, premis yang juga kilang memproses baja semi organik dibuka sejak tahun lalu, namun sisa buangan termasuk puluhan tong yang dapat dilihat dari luar menyebabkan penduduk khuatir ia mengandungi bahan kimia tercemar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 6:51 PM