Segera bertindak sebelum parah

KUALA LUMPUR 16 Mac – Kerajaan disaran mengambil tindakan tegas bagi mengekang penyalahgunaan media sosial termasuklah menghina kepemimpinan negara dengan kata-kata jelik yang semakin menjadi-jadi.

Saranan itu disuarakan Ketua Armada Lumut, Akmal Maradzi yang percaya bahawa kebebasan bersuara ada hadnya dan janganlah sampai ke tahap menghina serta menjatuhkan maruah orang lain.

Beliau tidak menafikan bahawa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara tetapi bukan bermaksud boleh menghina sehingga menimbulkan situasi tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

“Terbaharu, terdapat seorang yang mendakwa dirinya sebagai penganalisis politik bebas didapati telah menghina Perdana Menteri dalam laman Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal memberitahu, setiap orang boleh berbeza pendapat serta pandangan politik tetapi perbuatan menghina dan menggunakan perkataan jelik adalah tidak patut.

Beliau khuatir perbuatan tersebut akan berulang dan dilakukan individu lain sekiranya tiada tindakan segera daripada pihak berkuasa.

“Saya berharap tindakan tegas segera diambil terhadap pihak yang terlibat supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE