Lelaki parah ditetak

LELAKI parah ditetak di Pasar Besar Kota Kinabalu, akibat perselisihan faham dengan keluarga isterinya dalam kejadian Jumaat lalu.

Mangsa berusia 40 tahun itu diserang tiga ahli keluarga isterinya dengan seorang daripadanya wanita, menggunakan pelbagai senjata, termasuk parang dan kayu, kira-kira 7.30 malam.

Serangan itu menyebabkan mangsa cedera pada leher dan tangan, namun dia berjaya menyelamatkan diri dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, serangan itu tercetus akibat masalah keluarga membabitkan mangsa dengan keluarga isteri, begitupun hubungan lelaki itu dengan isterinya masih baik.

Malah, isteri mangsa yang mengetahui mengenai kejadian itu turut membawa suaminya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik laporan diterima, polis memberkas tiga individu berusia 28 hingga 33 tahun.

Menurutnya, polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan, iaitu kayu, kerambit, dua parang dan satu kunci mangga yang diikat menggunakan kain.

“Semua suspek yang ditahan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan isteri mangsa.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata tajam,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Habibi berkata, semua suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:40 PM