Lapan atlet luncur ais layak ke Filipina

LAPAN atlet luncur ais, termasuk ratu luncur ais negara, Anja Chong dipilih untuk mewakili negara pada temasya Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 Nov hingga 11 Dis ini.

Empat atlet lelaki yang terpilih ialah Sean Yei Qi Jun, Mohamad Hazim Syahmi Shahrum, Khairil Ridhwan Khalil dan Oh Han Yuan manakala empat atlet wanita ialah Anja, Doine Tan Shu Yen, Chan Kynie dan Ashley Chin.

Naib Presiden Short Track Speed Skating, Cheng Chee Siang berkata, pemilihan atlet adalah berdasarkan kepada Kejohanan Kebangsaan Short Track Skating 2019 yang berlangsung semalam.

“Pemilihan untuk luncur ais short track speed hanya berdasarkan kejohanan kebangsaan serta ranking atlet berkenaan,” katanya ketika ditemui di Stadium Luncur Ais Kebangsaan Malaysia (MYNISS), Empire City, Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan dua pingat emas dalam acara short track speed iaitu mempertahankan pingat emas acara luncur berganti-ganti lelaki dan wanita yang diraih pada edisi lepas di Kuala Lumpur pada 2017.

Cheng berkata, walaupun Malaysia berpeluang meraih pingat emas ,namun perlu lebih berhati-hati dengan saingan sengit yang bakal diberikan oleh peluncur dari Singapura, Thailand dan Filipina.

“Tidak dinafikan atlet luncur ais wanita kita memang amat bagus dan disegani dalam kalangan negara Asia Tenggara. Mereka adalah antara yang paling laju di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan atlet kini berlatih di luar negara dan akan mengikuti kem latihan menjelang temasya sukan itu. – Bernama