FAM guna kod QR pada sistem tiket

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan menggunakan sistem imbasan Kod QR bagi tiket kemasukan penonton ke dalam stadium untuk perlawanan antarabangsa sepanjang 17 hingga 26 Mac ini.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, ia hasil kerjasama antara FAM dengan dua syarikat pengendali tiket iaitu Tickethotline International Sdn Bhd dan Proticket Malaysia Sdn Bhd melalui ProEvents.

Katanya, buat permulaan sistem Kod QR ini akan dilaksanakan pada perlawanan persahabatan skuad bawah 22 tahun (B-22), Malaysia bertemu Australia di Stadium Shah Alam jam 8.45 malam ini.

“Sebarang kelemahan sistem akan diuji pada perlawanan ini dan cuba untuk diatasi dan diperbaiki sebaik mungkin sebelum diteruskan pada kejohanan empat negara, Piala AIRMARINE 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Ia membabitkan perlawanan Oman menentang Afghanistan dan Malaysia bertemu Singapura, pada Rabu ini, masing-masing jam 4.30 petang dan 8.45 malam serta dua perlawanan pada Sabtu, 23 Mac untuk penentuan tempat ketiga/keempat (4.30 petang) dan final (8.45 malam),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia akan digunakan untuk perlawanan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 di Stadium Shah Alam pada Jumaat, 22 Mac 2019 membabitkan China melawan (4.30 petang) dan Malaysia bertemu Filipina (8.45 malam), Ahad, 24 Mac 2019, Filipina menentang China (4.30 petang) dan Laos bertemu Malaysia (8.45 malam) dan Selasa, 26 Mac 2019-Laos menentang Filipina (4.30 petang) serta Malaysia lawan China (8.45 malam).

“Dengan sistem ini penyokong Harimau Malaya yang membeli tiket secara online tidak perlu ke kaunter penebusan tiket di stadium, sebaliknya hanya perlu menunjukkan Kod QR yang dihantar ke e-mel mereka untuk diimbas petugas di pintu masuk stadium.

“Selain memudahkan urusan dan menjimatkan masa, sistem Kod QR ini juga dapat mengatasi isu tiket palsu atau kemasukan tidak sah ke stadium kerana setiap tiket yang dijual termasuk di kaunter tiket biasa di stadium turut dilengkapi Kod QR.

“Bagi penyokong yang membeli tiket secara online tetapi tetap mahu mendapatkan tiket fizikal untuk koleksi, boleh berbuat demikian di kaunter khas pada hari perlawanan,” katanya.

Stuart menegaskan biarpun, pihaknya menggalakkan penyokong membeli tiket lebih awal secara online, FAM akan membuka kaunter tiket biasa pada hari perlawanan mengambil kira faktor terdapat penyokong yang tidak dapat berbuat demikian kerana sebab-sebab tertentu.

“Pelaksanaan sistem tiket ini diharap mampu melancarkan urusan pembelian dan kemasukan penyokong Harimau Malaya ke stadium berbanding beberapa kesulitan yang dihadapi mereka ketika Piala Suzuki AFF 2018,” katanya.

Tiket Piala AIRMARINE 2019 boleh dibeli secara online di www.proticket.com.my selain di cawangan The Guitar Store di sekitar Lembah Klang.

Bagi luar Lembah Klang, tiket boleh dibeli di Inverno Music Station di Mahkota Parade, Melaka serta Evolution Music House di Plaza Gurney dan Penang House of Music di KOMTAR, Pulau Pinang.

Sementara itu, tiket perlawanan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 dijual secara online di www.tickethotline.com.my.