Duit kutu pun hangus…

TUJUH sekeluarga hilang tempat berteduh apabila tiga kediaman yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di belakang Pejabat Pos Wakaf Bharu, Tumpat, petang hari ini.

Bagaimanapun, kejadian 6.30 petang itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Mangsa, Azizuddin Ali, 58, berkata, ketika itu, dia yang tiada di rumah menerima panggilan daripada isterinya, Nor Asiah Mohd Zin, 57, memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Isteri memberitahu, ketika kejadian dia membuka tingkap rumah dan ternampak api dari bahagian dapur rumah yang dihuni ibu saudara di hadapan rumah kami.

“Dia (isteri) segera menelefon saya dan terus keluar menyelamatkan diri serta mengalihkan kereta yang berada di belakang rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Azizuddin berkata, selain rumahnya dan ibu saudara, sebuah lagi rumah yang terbakar adalah didiami bapanya, Ali Ibrahim, 82, yang sempat menyelamatkan diri sebelum api marak.

Menurutnya, ketika kebakaran berlaku, keluarganya dibantu orang ramai yang bermain bola di padang belakang rumahnya, menyelamatkan sebahagian besar barangan rumah.

Dalam pada itu, anak Azizuddin, Ras Atifa, 30, berkata, kebakaran itu menyebabkan dia kehilangan duit kutu miliknya dan beberapa rakan sepejabat, sebanyak RM2,000.

Katanya, wang tunai itu disimpan dalam beg tangan yang ditinggalkan di rumah kerana ketika kejadian dia juga tiada di rumah.

“Sebenarnya wang kutu itu saya simpan di dalam beg tangan yang biasa digunakan, namun hari ini saya menukar dan memakai beg yang lain, manakala wang itu disimpan dalam almari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 6.36 petang.

“Seramai 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, BBP Pengkalan Kubor dan BBP Darul Naim dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan itu tiba 6.48 petang. Ketika tiba, api sedang marak dan kebakaran sudah 90 peratus. Kebakaran dapat dikawal 6.58 petang,” katanya sambil memberitahu punca dan kerugian masih dalam siasatan.