PRK Semenyih: PH mendahului dengan 9 peratus tetapi… – Kajian IDE

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) mendahului dengan sembilan peratus daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berdasarkan dapatan Kajian Lapangan badan penyelidik pilihan raya Institut Darul Ehsan (IDE) pada 31 Jan hingga 1 Feb 2019.

Timbalan Pengerusi IDE Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata sokongan terhadap PH masih tinggi dengan 46 peratus berbanding parti Barisan Nasional (BN) yang hanya mendapat 37 peratus.

“Menjelang proses penamaan calon PRK yang bakal berlangsung Sabtu ini, PH mendahului sembilan peratus daripada BN berdasarkan kajian kita.

“Pakatan Harapan dilihat mendahului parti-parti lain menjelang proses penamaan calon pada Sabtu ini,” kata Mohammad Redzuan pada sidang media IDE yang berjudul “PRK N24 Dun Semenyih: Apa Pilihan Pengundi” di Auditorium Institut Darul Ehsan di Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Pakatan Harapan (PH) mendahului 9% daripada Barisan Nasional (BN) berdasarkan Kajian Survei Lapangan IDE pada 31 Januari hingga 1 Februari 2019.
Bagaimanapun, sokongan untuk PH dalam PRK tersebut menurun berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu.

Kajian tersebut menunjukkan PH hanya akan mendapat peratusan sokongan 46 peratus berbanding dengan peratusan sokongan yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu pada 50 peratus.

“Penentuan PRK kali ini terletak pada pengundi atas pagar dan pengundi yang belum membuat keputusan dalam lingkungan 17 peratus.

“Pengundi ini akan menjadi penentu siapakah parti yang akan memenangi PRK kali ini,” tambahnya. 

Kajian tersebut dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan 1142 orang responden daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain yang berlangsung selama tiga hari dari 31 Jan hingga 1 Feb 2019.

Tambahnya, daripada kajian tersebut, trend pengundian menunjukkan 50 peratus pengundi telah membuat keputusan untuk mengundi calon daripada parti tertentu namun 28 peratus lagi hanya akan membuat pilihan menjelang hari pengundian.

Oleh itu, beliau berkata tempoh 48 jam terakhir sebelum hari pengundian sebenarnya boleh menentukan pola pengundian dan mampu menggambarkan calon daripada parti mana yang akan memenangi kerusi dipertandingkan.

Sementara itu, beliau berkata walaupun tahap sokongan pengundi berpuas hati terhadap kerajaan PH masih tinggi, namun terdapat dua isu yang mempengaruhi serba sedikit tentang persepsi berkenaan iaitu berkaitan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan Sabtu ini iaitu 16 Feb, manakala hari pengundian awal ialah 26 Feb dan hari pengundian pada 2 Mac.