Polis marin rampas ketum

TUMPAT 14 Feb. – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas daun ketum bernilai RM12,600 dalam satu serbuan di Kampung Kubang Pak Itam, Pasir Mas di sini semalam.

Daun ketum seberat 180 kilogram itu dirampas dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan pada pukul 2.30 petang. 

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, serbuan 
oleh sepasukan anggota itu diketuai Inspektor Reduan Mohidin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati rumah tersebut dijadikan sebagai transit sebelum diseludup ke negara jiran.

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas rumah itu membawa kepada penemuan sejumlah daun ketum yang telah siap dibungkus di dalam plastik lutsinar berteraburan di atas lantai.

“Kesemua barang kes dirampas dan dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd. Rudzuan memberitahu, kejayaan itu menguatkan lagi semangat PPM Wilayah Tiga Pengakalan Kubor untuk membanteras aktiviti penyeludupan.

Katanya, pihaknya akan terus melipat gandakan lagi operasi dan kawalan disepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi memastikan ia bebas daripada anasir-anasir tidak baik.-UTUSAN ONLINE