Amanah: Tiada logo parti, jentera kerajaan di Semenyih

PRK SEMENYIH | Parti Amanah Negara (Amanah) memutuskan agar petugasnya diwajibkan hanya menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) dan bukannya lambang parti itu sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kecil Semenyih.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi Amanah malam tadi, menurut kenyataan dikeluarkan oleh media dan unit komunikasi parti itu.

“Selain itu setiap agensi kementerian juga tidak akan dibenarkan berada di kawasan PRK selepas tarikh penamaan calon bagi menggelakkan daripada sebarang penyalahgunaan aset kerajaan untuk kepentigan sempit kepartian.

“Justeru, Amanah berharap supaya semua petugas dapat mengikuti ketetapan ini demi memastikan kemenangan Pakatan Harapan di DUN Semenyih boleh dikekalkan dengan majoriti undi yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu.

Hari pengundian untuk pilihan raya kecil Semenyih ditetapkan pada 2 Mac, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Beberapa pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini menyaksikan dakwaan berlaku kesalahan pilihan raya termasuk pembelian undi dan penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen.