Venezuela tumpu pasaran eksport Asia

HOUSTON 13 Feb. – Venezuela memberi tumpuan kepada pasaran Asia termasuk Malaysia untuk aktiviti eksport minyaknya selepas berdepan kemerosotan susulan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) bermula 28 Januari lalu.

Langkah berkenaan bagi menggantikan penghantaran minyak ke AS dan Eropah yang terjejas akibat sekatan pembayaran. Sekatan AS itu bertujuan mengurangkan sokongan kewangan kepada Presiden Vene­zuela, Nicolas Maduro.

Negara Amerika Selatan itu kini giat mencari pembeli tunai di Asia di samping mahu me­ningkatkan jualan sebanyak dua kali ganda di pasaran kedua terbesar iaitu India.

Menurut data Refinitiv Eikon, syarikat minyak Venezuela, Petroleos de Venezuela S.A. (PDVSA) dapat memuatkan dan mengeksport produk mentah dan bertapis sebanyak 1.15 juta tong sehari (bpd) dalam tempoh dua minggu sebelum pengumuman sekatan.

Sekurang-kurangnya 19 buah kapal tangki besar di Asia membawa lebih daripada 24 juta tong minyak dari Venezuela dalam perjalanan ke India, China, Si­ngapura, Malaysia dan Jepun. Sembilan daripada kapal itu membawa kargo selepas sekatan dikeluarkan.

Sebelum sekatan, PDVSA menghantar lebih daripada 500,000 bpd ke pasaran tunai terbesarnya di AS diikuti India dan China.

Venezuela menghantar menteri yang bertanggungjawab terhadap minyak, Manuel Quevedo ke India bagi meyakinkan pelanggan termasuk Reliance Industries Ltd. dan Nayara Energy Ltd. untuk meningkatkan pembelian.

Reliance merupakan antara pelanggan tunai utama PDVSA manakala Nayara menerima minyak daripada salah satu pemegang kepentingan terbesar­nya iaitu syarikat minyak gergasi Rusia, Rosneft.

Sementara itu, masih tidak jelas bagaimana jualan tunai akan terjejas tanpa menggunakan sistem perbankan AS dan Eropah selepas tarikh akhir yang ditetapkan oleh Perbendaharaan AS pada 28 April.

Venezuela juga terbuka untuk menerima sistem barter dengan India menggunakan minyak sebagai medium pembayaran.

Kata Quevedo, kesanggupan Venezuela menggunakan sistem barter akan menyelesaikan keperluan yang diperlukan oleh negara itu bagi menggantikan pembelian dari AS. – REUTERS