TMJ ambil perhatian masalah disuarakan

JOHOR BAHRU 13 Feb. – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil maklum semua masalah yang disuarakan rakyat Johor menerusi media sosial.

Menerusi platform tersebut dapat beliau dapat berinteraksi dengan rakyat tanpa sebarang protokol terutama melalui akaun Facebook dan Twitter putera sulung Sultan Johor itu.

“Platform itu dapat mempengaruhi rakyat dengan nilai-nilai positif berkenaan Johor selain mengingatkan rakyat betapa penting mengekalkan permuafakatan dalam memastikan negeri ini terus maju ke hadapan.

“Saya juga ambil maklum akan aduan-aduan yang diutarakan kepada saya melalui akaun media sosial merangkumi pelbagai aspek kehidupan daripada isu perumahan, bantuan kebajikan, pendidikan atau pun infrastruktur.

“Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik untuk bantu sesiapa yang memerlukan,” katanya menerusi akaun Facebook rasmi HRH Crown Prince of Johor.

Pada masa sama, Tunku Ismail menggesa semua pihak turut menggunakan platform aduan awam yang disediakan kerajaan negeri bagi membantu menyelesaikan aduan-aduan rakyat di Johor.

Platform itu, katanya, merupakan satu inisiatif yang baik untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam negeri Johor.

Beliau turut menyertakan capaian laman web aduan awam itu di http://johor.spab.gov.my/eApps/system/index.do.