Ratapan inai pengantin

Tumpat: Nikmat alam rumah tangga hanya sempat dikecapi empat hari buat Nor Shahirah Mohd Fuad, 24, sebelum suaminya pergi buat selama-lamanya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Dengan inai masih merah di jari, kini wanita itu hanya mampu meratap dan merindui suaminya, Allahyarham Fikri Ghazali, 33, yang dijemput Ilahi Isnin lalu.

Nor Shahirah ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pak Jah di sini, berkata, mereka dinikahkan pada 7 Februari lalu sebelum kembali ke Shah Alam, Selangor dan menetap di sana.

“Majlis resepsi kami juga sepatutnya berlangsung April ini di rumah saya di Sungai Besi.

“Kami juga merancang meraikan bulan madu dalam masa yang sama mengadakan hari keluarga di Kolam Air Panas Pasir Akar, Terengganu selepas Aidilfitri ini tetapi kini semuanya hanya tinggal perancangan saja,” katanya sedih.

Nor Shahirah berkata, walaupun perasaannya sangat sedih dan kadang kala gagal membendung air mata daripada mengalir, dia perlu mengawal kerana enggan terlalu mengikut perasaan dan bimbang ‘menyeksa’ arwah.

SAAT bahagia perkahwinan pada 7 Februari lalu tinggal kenangan selepas suami maut dalam kemalangan.

Dalam kejadian pagi Isnin lalu, Allahyarham Fikri yang menunggang motosikal dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Shah Alam, Selangor.

Nor Shahirah berkata, ketika itu mereka baru empat hari menjalani hidup sebagai suami isteri dan menyewa di sebuah rumah di Shah Alam.

“Pada pagi kejadian suami tidak menunjukkan sebarang perubahan dan saya sangat gembira kerana dapat menyediakan sarapan pagi kepadanya sebelum dia bergerak ke tempat kerja.

“Selepas kira-kira satu jam arwah keluar ke tempat kerja, saya mendapat panggilan daripada seorang rakan memberitahu suami terbabit dalam kemalangan jalan raya dan dibawa ke Hospital Shah Alam,” katanya.

Jenazah Fikri dibawa pulang ke kampung halamannya di Tumpat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Datuk, di sini, pagi semalam.

Walaupun ikatannya bersama arwah suami sudah terlerai, Nor Shahirah berkata, hubungannya dengan keluarga mentuanya akan kekal sampai bila-bila dan dia akan tetap datang berkunjung.

“Saya akan cuba untuk datang seminggu atau sebulan sekali melawat keluarga arwah kerana mereka juga keluarga saya.

“Paling penting adalah menziarah kubur arwah suami yang akan saya kenang dia sampai ke akhir hayat kerana dia cinta pertama saya,” katanya.