Pilu pengantin empat hari

NIKMAT alam rumah tangga hanya sempat dikecapi Nor Shahirah Mohd Fuad, 24, selama empat hari sahaja sebelum suaminya pergi buat selama-lamanya selepas kemalangan jalan raya, Isnin lalu.

Dengan inai masih merah di jari, wanita itu hanya mampu menatap gambar perkahwinan untuk melepaskan kerinduannya terhadap suami, Fikri Ghazali, 33, yang juga cinta pertamanya.

Malah pasangan itu juga tidak sempat mengadakan majlis resepsi dan bulan madu yang sudah dirancang pada April dan selepas Aidilfitri nanti.

Ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pak Jah, Tumpat, Nor Shahirah berkata, mereka mendirikan rumah tangga pada 7 Februari lalu sebelum kembali ke Shah Alam, Selangor kerana bekerja dan menetap di situ.

“Majlis resepsi kami sepatutnya berlangsung pada April ini di rumah saya di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Kami juga merancang untuk meraikan bulan madu dalam masa yang sama mengadakan hari keluarga di Kolam Air Panas Pasir Akar, Terengganu selepas Aidilfitri ini.

“Namun kini semuanya hanya tinggal rancangan sahaja,” katanya, sedih.

Nor Shahirah mengakui dia sukar mengawal emosinya dan adakala menangis tanpa henti disebabkan terlalu sedih.

Bagaimanapun, dia terpaksa tabah dan reda dengan ketentuan Illahi kerana enggan ‘menyeksa’ arwah di alam sana.

Allahyarham Fikri meninggal dunia selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Shah Alam, Selangor.

Katanya, arwah tidak menunjukkan sebarang kelainan ketika hari kejadian, malah dia sendiri sangat gembira kerana dapat menyediakan sarapan buat Fikri sebelum lelaki itu ke tempat kerjanya.

“Kira-kira sejam selepas dia keluar, saya menerima panggilan daripada rakan arwah memberitahu suami terbabit kemalangan dan dibawa ke Hospital Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, jenazah Fikri dibawa pulang ke kampung halamannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Datuk, Tumpat, pagi semalam.

Walaupun ikatannya bersama arwah sudah terlerai, Nor Shahirah berharap hubungannya dengan keluarga mentua kekal sampai bila-bila dan dia akan sentiasa melawat mereka.

“Saya akan cuba datang seminggu atau sebulan sekali melawat keluarga arwah kerana mereka juga keluarga saya dan paling penting mahu ziarah kubur arwah suami yang akan saya kenang hingga ke akhir hayat kerana dialah cinta pertama saya,” katanya.