MB Johor terus membisu, UPM digesa buat penjelasan

JOHOR BAHRU 13 Feb. – Universiti Putra Malaysia (UPM) atau dahulunya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia digesa tampil membuat penjelasan berhubung dakwaan ijazah palsu membabitkan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, hanya penjelasan daripada pihak UPM akan mematikan dan menentusahkan isu tersebut yang masih menjadi tanda tanya.

Ini kerana, katanya, perkara paling dikesalkan dalam episod berlarutan penipuan sijil dan kelayakan akademik pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan adalah dalihan demi dalihan dikeluarkan oleh mereka yang dituduh.

“Memandangkan Menteri Besar Johor memilih untuk membisu dalam pertikaian terhadap ijazah palsu itu, maka UPM harus tampil dan membuat penjelasan.

“UPM sendiri juga sudah berjanji kepada orang awam untuk membuat penjelasan, maka saya gesa penjelasan itu diberikan segera bagi mengesahkan isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Pada masa sama, Mohamed Khaled Nordin turut melahirkan rasa kesal yang mendalam dengan tindakan berdiam diri oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Tegasnya, sebagai seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan memegang portfolio berkaitan pendidikan serta pengajian tinggi, Maszlee mesti tampil dan memberikan kepimpinan dalam isu itu.

“Beliau mesti menjadi suara yang mampu menjaga integriti dunia kesarjanaan kerana tidak ada orang yang lebih layak dan berautoriti melainkan Maszlee dalam memberi penjelasan berhubung perkara itu.

“Adalah sangat memalukan jika kepimpinan negara ini dipenuhi dengan mereka yang bukan sahaja tidak mempunyai integriti dan kejujuran berhubung kelayakan diri, malah mereka disokong dan dipertahankan pula secara tidak bertanggungjawab oleh pemimpin PH,” katanya.

Justeru, Mohamed Khaled menggesa perkara tersebut perlu dihentikan segera dan sekali lagi menegaskan UPM dan Menteri Pelajaran perlu tampil membuat penjelasan. – UTUSAN ONLINE