Malindo Air taja UiTM FC

SHAH ALAM 13 Feb. – Skuad UiTM FC menerima tajaan daripada syarikat penerbangan, Malindo Air bagi pengangkutan ke tempat lawan sepanjang musim Liga Perdana berlangsung.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Abdullah Said berkata, tajaan tersebut adalah kali pertama diterima pihaknya yang akan menerbangkan kesemua pemain UiTM FC sepanjang liga.

“Tajaan ini tidak mempunyai nilai tertentu dan bergantung kepada pasaran semasa penerbangan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah UiTM FC, Skuad Piala Presiden dan Skuad Muda UiTM di Kompleks Sukan UiTM di sini, semalam.

Yang hadir sama ialah Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim. 

Mengulas mengenai Majlis Ikrar Bebas Rasuah tersebut, Abdullah memberitahu, selepas ini pihaknya akan terus komited untuk mengadakan ceramah kesedaran dan program keagamaan seperti bacaan Yasin untuk memantapkan integriti pemain. – UTUSAN ONLINE