ECRL: Diharap capai penyelesaian

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Kerajaan Malaysia dan China diharap dapat mencapai persefahaman berhubung projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM81 bilion dan projek-projek lain yang relevan untuk meminimumkan kerugian atau mencapai penyelesaian ‘menang-menang’.

Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) berkata, pihaknya turut menggesa individu dan organisasi bukan kerajaan untuk memberi ruang dan waktu mencukupi bagi kedua-dua pihak berkuasa menjalankan rundingan sete­rusnya mewujudkan suasana pelaburan dan ekonomi yang mesra kepada semua pelabur asing termasuk China.

Katanya, pihak MCCC yang telah melaksanakan konsep menggalakkan pembangunan ekonomi, perdagangan dan kerjasama pelaburan antara kedua-dua negara untuk jangka masa panjang, sangat prihatin terhadap kemajuan pembangunan pelbagai projek domestik yang dibiayai China.

“MCCC optimistik mengenai kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan China dan akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu kedua-dua negara dalam kerjasama mereka dengan memanfaatkan sepenuhnya perusahaan swasta selain turut bekerjasama dengan dasar-dasar properniagaan daripada kerajaan baharu.

“Dalam jangka masa panjang, jika ECRL dan projek-projek modal intensif relevan yang lain dapat dikendalikan dengan baik walaupun dalam keadaan mencabar, ia akan menunjukkan kebijaksanaan politik para pemimpin kerajaan Malaysia dan China.

“Ini akan mewujudkan persekitaran pelaburan dan persekitaran yang mesra untuk semua pelabur asing termasuk pelabur China,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan mengeluarkan kenyataan bercanggah antara Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bulan lepas mengenai projek tersebut yang dijalankan syarikat China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC).

Status mengenai ECRL terus menjadi tanda tanya apabila Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan berkata, kontrak projek tersebut telah dibatalkan, namun bercanggah de­ngan Guan Eng yang menyatakan kenyataan rasmi akan dibuat kemudian.

Minggu lalu, Mohamed Azmin meminta agar kerajaan diberikan ruang perbincangan mengenai status projek infrastruktur itu diteruskan dan kerajaan mahu mengekalkan hubungan dua hala yang baik dengan China.

“Kita perlu beri ruang kepada semua pihak terlibat supaya perbincangan diteruskan. Apabila semuanya selesai, ia akan dibawa ke Kabinet dan memaklumkannya kepada rakyat.

“China merupakan rakan dagang penting. Kita mahu kembangkan perdagangan dengan semua negara termasuk China. Kita akan terus berbincang pelbagai perkara yang ada demi kepentingan kedua-dua negara,” katanya.