Zuraida kesal pemimpin khianat suara akar umbi

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menempelak golongan pemimpin yang melakukan pengkhianatan terhadap parti sendiri apabila tergamak meminggirkan kehendak akar umbi.

Zuraida berkata, antara bukti pengkhianatan itu termasuklah melantik individu yang kalah dalam pemilihan parti dengan meletakkan golongan itu sebaris dengan mereka yang menang.


Tegasnya, dalam amalan demokrasi, pemenang akan dikira dengan jumlah undi untuk menandakan sokongan kepada calon-calon yang bertanding tidak kira sama ada meraih majoriti mudah atau menang besar dalam sesuatu pilihan raya atau pemilihan. 


“Mereka yang menang itu seharusnya menerajui dan membawa hasrat majoriti sebagai iltizam tunggal parti. Sekalipun jawatan lantikan itu dibenarkan di dalam perlembagaan parti-parti politik ini, seharusnya perbincangan dengan pihak yang menang perlu diadakan sebelum lantikan mana-mana individu yang kalah atau tidak bertanding dibuat.


“Lebih-lebih lagi apabila individu yang dilantik tersebut, tidak pernah kelihatan berbakti kepada anggota parti ataupun terlibat secara langsung dalam mana-mana gerak kerja parti. Seolah-olah munculnya insan-insan misteri ini apabila senang, namun tidak nampak kelibatnya ketika susah,” katanya dalam rencana bertajuk ‘Aspirasi akar umbi dalam politik’ tulisan beliau sendiri yang disiarkan di muka surat 15 di Utusan Malaysia di sini hari ini.


Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi teguran kepada anggota parti itu agar berhenti ‘bermain wayang’ sebaliknya menumpukan usaha mengukuhkan permuafakatan dalam parti itu.


Menerusi laporan Malaysiakini hari ini, kata Anwar, setiap anggota parti juga perlu memperkemaskan disiplin dan tidak lagi membuat serangan peribadi yang boleh merugikan masa depan PKR. -UTUSAN ONLINE