Sindiket bekal dadah kepada penjara tumpas

Sindiket bekal dadah kepada penjara tumpas

Mohamad Fuzi menunjukkan barang rampasan pelbagai jenis dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. – BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menumpukan penjualan untuk tahanan penjara selepas lima lelaki ditahan di sekitar Johor, pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, hasil penahanan suspek berusia antara 26 hingga 30 tahun itu melibatkan rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM814,000.

Sabtu lalu, Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Johor melancarkan dua serbuan di sekitar Johor bermula pukul 7 malam hingga 11 malam.

Hasil serbuan, polis menahan lima lelaki tempatan dan merampas 9.88kg dadah disyaki syabu, 16.4kg heroin dan 940 biji pil ecstasy.

Polis turut merampas dua buah kereta, tiga motosikal, barang kemas dan wang tunai RM22,000. Jumlah sitaan tersebut dianggarkan bernilai RM189,000.

“Sindiket ini dikenal pasti aktif membekalkan dadah kepada penjara Simpang Renggam sejak tahun 2017.

“Operasi untuk menumpaskan sindiket ini dijalankan oleh JSJN Bukit Aman bersama JSJN Johor dan Jabatan Penjara Malaysia,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Jelas Mohamad Fuzi, penahanan lima suspek terbabit adalah susulan penangkapan empat ahli sindiket pada tahun lalu.

Semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 19 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

BACA: Lapan ditahan dalam operasi dadah jutaan ringgit di Perak dan Johor