Pinda Akta Hasutan, beri ruang luahan pendapat membina

PIHAK kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu mempertimbangkan cadangan untuk meminda atau menganti terus Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dengan sebuah akta baharu yang lebih sesuai bagi memberi lebih banyak ruang kepada rakyat negara kita untuk bersuara dan meluahkan pendapat tanpa rasa takut atau bimbang.

Akta Hasutan 1948 (Akta 15) sudah lama diguna pakai dalam negara iaitu semenjak zaman penjajahan British lagi. Selepas negara kita merdeka pada tahun 1957 sehingga terbentuknya negara Malaysia pada tahun 1963, Akta Hasutan 1948 (Akta 15) berkenaan masih lagi digunakan sehingga kini.

Akta yang telah berusia 70 tahun ini telah dirangka bagi menyelesaikan masalah–masalah berbangkit pada ketika zaman penjajahan British serta bagi menghadapi segala masalah yang dihadapi oleh negara pada awal penubuhan negara ini.

Keadaan serta suasana masa kini telah pun banyak berubah lebih–lebih selepas Pilihanraya Umum Kali Ke-14 (PRU14) yang lalu yang jelas menunjukkan rakyat negara kita inginkan sebuah negara baharu yang ditadbir dengan lebih baik lagi serta memiliki satu bentuk peruntukan undang–undang yang sesuai dengan keadaan dan kehendak masa kini yang tidak menekan mana–mana pihak untuk tampil berani bersuara dan memberi pendapat untuk manfaat dan kemajuan negara.

Seperti yang diketahui umum, kebebasan yang diberikan kepada setiap warganegara di Malaysia adalah jelas termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Bahagian II dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperkatakan dengan jelas peruntukan mengenai kebebasan asasi setiap warganegara dalam negara kita.

Salah satu bentuk kebebasan asasi yang jelas dilindungi dalam negara kita adalah kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan seperti yang jelas terkandung di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia itu sendiri.

Setiap jenis kebebasan termasuk kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat adalah asas kepada kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara serta ia penting bagi menjamin serta melindungi maruah setiap diri manusia itu sendiri.

Kebebasan untuk seseorang itu bersuara serta meluahkan pendapat juga penting bagi kemajuan sesebuah masyarakat dan negara.

Sejajar dengan prinsip yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan ini, pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk meminda atau mengantikan terus Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dengan akta lain yang lebih terkini serta yang lebih sesuai untuk diguna pakai dengan keadaan semasa pada ketika ini dalam negara kita.

Antara pertimbangan yang boleh diberikan ialah dengan mewujudkan Akta Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 [Akta 15] terbabit.

Dengan adanya Akta Keharmonian Nasional ini, satu bentuk peruntukan undang–undang baharu bagi mencapai satu keseimbangan terbaik dapat dilakukan dalam menjamin kebebasan atau hak setiap individu untuk bersuara dan memberi pendapat seperti yang telah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan serta pada masa yang sama menjaga kompleksiti, sensitiviti, dan kemajmukan yang sudah lama wujud dalam masyarakat di dalam negara ini.

Tanpa adanya satu bentuk akta yang mempunyai keseimbangan yang ideal dan sesuai dengan keadaan semasa dan kehendak masa kini, ia akan sudah pasti merencatkan kebebasan atau hak individu untuk bersuara dan memberikan pendapat.

Tanpa adanya kebebasan bersuara dan memberi pendapat ini agak sukar untuk negara kita menjadi sebuah negara maju serta berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa kerana melalui kebebasan bersuara dan memberi pendapat ini lebih banyak idea dan pemikiran dapat diluahkan bagi membantu serta menjana pertumbuhan pembangunan negara kita.

Bagi merealisasikan cadangan ini, pihak kerajaan boleh mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan terbabit dengan lebih terperinci lagi.

Ahli jawatankuasa khas berkenaan mestilah terdiri daripada beberapa orang pakar perundangan, khususnya yang berkaitan dengan aspek hak asasi manusia dalam negara, termasuk pihak dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), pihak pengamal undang-undang, pihak badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan isu hak asasi manusia serta pihak dari Jabatan Peguam Negara.

Jawatankuasa khas ini bertanggungjawab untuk mencari satu keseimbangan terbaik melalui cadangan Akta Keharmonian Nasional ini bagi menjamin kebebasan setiap rakyat untuk bersuara dan memberi pendapat serta pada masa sama memastikan setiap suara dan pendapat yang diberikan tidak menjejaskan suasana kompleksiti, sensitiviti, dan kemajmukan yang sudah lama wujud dalam masyarakat berbilang kaum dalam negara ini.


Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.