Pelantikan dibuat atas kelayakan, pengalaman – YPJ

JOHOR BAHRU 14 Jan. – Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dibuat berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman dalam bidang pendidikan dan korporat.

YPJ dalam satu kenyataan sebentar tadi memberitahu, kedudukan politik tidak pernah dijadikan merit dalam pemilihan Ahli Lembaga Pengarah YPJ.

Namun pihaknya maklum dengan gambar dan jawatan Ahli Lembaga Pengarah YPJ yang tersebar dalam media sosial terutama melibatkan dua ahli lembaga baharunya.

“Haji Zais Mohd. Akil merupakan bekas Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar di Kementerian Pelajaran (2005-2008) dan juga bekas Pengetua di Maktab Sultan Abu Bakar.

“Beliau juga pernah bertugas di Jabatan Pelajaran Johor sebagai Ketua Penolong Pengarah selama 19 tahun.

“Sementara Haji Karmaine Sardini pula merupakan bekas guru di Sekolah Menengah Teluk Kerang, Pontian sebelum meneruskan pelajaran dalam bidang seni bina. Beliau pernah berkhidmat sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (1980-2000),” katanya.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam akaun Twitter miliknya hari ini, menyindir pelantikan Ahli Lembaga Pengarah YPJ itu yang mempunyai kaitan dengan jawatan politik.

Khairy meminta supaya perbuatan itu tidak dilakukan secara terbuka dan jelas, sambil menyatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah tidak segan untuk memaparkan lantikan sebegitu.

“Sekurang-kurangnya selindunglah sikit jawatan politik itu. Letaklah jawatan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) kangkung mana-mana pun,” tulis dalam tweet terbaharunya. – UTUSAN ONLINE