MyPPP akan buat rayuan

MyPPP mengesahkan mereka akan membuat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung pembatalan pendaftaran parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz berkata, pihaknya akan merayu kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan yakin kementerian itu akan memberikan kelulusan kepada MyPPP untuk terus berdaftar di bawah kepemimpinannya.

Beliau berkata, keyakinan itu adalah kerana tindakan pemecatan Tan Sri M Kayveas sebagai Presiden MyPPP selain perjalanan proses sebelum dan selepas itu adalah berlandaskan Perlembagaan Parti MyPPP.

“Dimaklumkan, seluruh Ketua Negeri serta Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri MyPPP yang masih sama sebelum terjadinya pertikaian ini, kekal bersama-sama saya sehingga kini.

“Selain itu, lawatan saya ke seluruh negara baru-baru ini turut mendapati 95 peratus bahagian mahu pun cawangan bersama-sama saya,” katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran MyPPP berkuat kuasa hari ini.

Pembatalan itu dibuat Pendaftar Pertubuhan, Masyati Abang Ibrahim menerusi notis kepada parti itu yang mana salinannya turut diserahkan kepada Kayveas dan Maglin Dennis.

Menurut notis itu, keputusan membatalkan pendaftaran MyPPP dibuat berikutan rayuan dikemukakan parti itu tidak menunjukkan sebab yang cukup di sebaliknya.

Mengulas lanjut mengenai pembatalan itu, Maglin Dennis berkata, beliau menerima surat pembatalan dari Pendaftar Pertubuhan Malaysia, jam 3 petang tadi yang menyatakan pendaftaran MyPPP dibatalkan berkuatkuasa hari ini.

“Apapun, sebagaimana dinyatakan di dalam surat terbabit, rayuan boleh dibuat kepada Menteri Dalam Negeri dalam masa 30 hari dari tarikh keputusan.

“Jadi, saya akan membuat rayuan. Saya yakin kami pihak yang benar akan mendapat keputusan yang benar,” katanya.

MyPPP sebelum ini berdepan krisis kepemimpinan apabila terdapat dua kem yang mendakwa menerajui parti berkenaan.

Satu kem diterajui Kayveas yang sebelum ini menyatakan sokongan parti itu kepada Pakatan Harapan selepas bertindak keluar Barisan Nasional (BN) susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Satu lagi kem diterajui Maglin Dennis yang mendakwa parti itu mesra BN.

Berita berkaitan

Pendaftaran MyPPP dibatalkan