Lapan ahli sindiket edar dadah ditahan

KUALA LUMPUR 14 Jan.- Polis menahan lapan individu dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah melalui dua operasi di Perak dan Johor, Sabtu lalu.

Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut menemukan 579.38 kilogram syabu, 16.4 kilogram heroin dan 940 pil ekstaksi dianggarkan bernilai RM29.28 juta. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, dalam operasi pertama bermula pukul 4 petang hingga 7 petang di Perak, tiga lelaki ditahan di beberapa lokasi berasingan. 

Menurut beliau, dalam serbuan pertama di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Taiping, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan dan dadah syabu seberat 569.5 kilogram ditemukan dalam sebuah kontena jenis Isuzu. 

“Kita percaya kontena itu dalam perjalanan Pelabuhan Pulau Pinang untuk dieksport ke negara luar. Selain itu, dua lelaki berusia 49 dan 39 tahun dipercayai ahli sindiket sama turut ditahan di Bidor dan Ipoh.

“Dalam operasi kedua di Johor pada hari sama, lima lelaki berusia 26 hingga 30 tahun ditahan di dua lokasi berasingan di Johor Bahru,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh. 

Dalam pada itu, menurut Mohamad Fuzi, siasatan awal mendapati lima individu yang ditahan di Johor dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup masuk dadah kepada tahanan di sebuah penjara di negeri itu. 

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula 12 Januari lalu hingga 19 Januari ini.

“Kita percaya kesemua suspek yang ditahan merupakan dari dua sindiket yang berbeza. Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Berbahaya 1952,” katanya.- UTUSAN ONLINE