"Keadaan rumah bertaburan…gelas dan pinggan pecah" – Pemilik kediaman insiden tebusan Tuaran

"Keadaan rumah bertaburan...gelas dan pinggan pecah" - Pemilik kediaman insiden tebusan Tuaran

Suspek maut di lokasi kejadian dan kanak-kanak perempuan itu berjaya diselamatkan seterusnya dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas bagi mendapat rawatan lanjut. – Foto Astro AWANI

TUARAN: Pemilik kediaman mengambil masa lebih kurang sejam membersihkan rumah menjadi lokasi berlakunya insiden seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dijadikan tebusan oleh seorang lelaki tidak dikenali di sebuah unit di Apartment Telipok Ria, dekat sini, pada Ahad.

Lapor Bernama, anak pemilik rumah itu, Kasman Rahim, 25, berkata mereka mula membersihkan rumah tengah malam semalam.

Mereka turut dibantu jiran tetangga selepas pihak polis mengeluarkan mayat suspek.

Kasman yang sudah tinggal di apartment itu hampir 10 tahun berkata keadaan rumah berselerak dan banyak kesan darah suspek di bahagian dapur.

“Keadaan rumah bertaburan…gelas dan pinggan pecah.

“Semalam saya tidur di luar rumah sambil meninjau keadaan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, hari ini.

BACA: Kanak-kanak dijadikan tebusan di Tuaran dalam keadaan stabil

BACA: Kes tebusan di Tuaran: ‘Budak tu sedikit pun tak nangis’ – Saksi

BACA: Polis gagalkan insiden kanak-kanak dijadikan tebusan di Tuaran

Semalam, penghuni apartment itu kecoh dan cemas apabila dikejutkan dengan insiden seorang kanak-kanak perempuan dijadikan tebusan oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Polis Sabah bertindak segera melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek selepas dia mahu mencampak kanak-kanak perempuan itu dari tingkap dapur rumah tersebut.

Suspek maut di lokasi kejadian dan kanak-kanak perempuan itu berjaya diselamatkan seterusnya dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas bagi mendapat rawatan lanjut.

Kanak-kanak perempuan itu kini dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan pakar.

Sementara itu, tinjauan Bernama di apartment itu mendapati penghuni menjalankan aktiviti harian seperti biasa. – Sumber Bernama