Hisham jamin kepada saya akan kekal bersama UMNO – Najib

SHAH ALAM 14 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa sepupunya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien akan terus kekal setia bersama UMNO.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau telah bertemu sendiri dengan Hishammuddin beberapa hari lalu dan sepupunya tersebut memberi jaminan sedemikian.

“Berkenaan Hishammuddin, saya beberapa hari lalu ada bertemu dan bercakap sendiri dengannya dan beliau memberi jaminan akan tetap kekal dengan UMNO.

“Soal gambar bercuti dengan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) itu memberikan pelbagai tafsiran dan saya bertanyakan secara berterus terang.

“Saya juga menyebutkan, janganlah (berpaling), sayang dan kasihlah pada UMNO kerana ini darah daging kita dan alhamdulillah dia beri pendirian itu kepada saya,” katanya dalam sesi santai bersama ahli UMNO, di sini hari ini.

Terdahulu, Najib diajukan persoalan mengenai kedudukan sebenar Hishammuddin selepas tindak tanduk bekas Naib Presiden UMNO itu mencetuskan pelbagai khabar angin yang tidak menyenangkan parti.

Sebelum gambar percutiannya dengan Mohamed Azmin tersebar, Hishammuddin juga dikaitkan dalam isu wakil rakyat UMNO yang lompat parti tetapi dakwaan itu dinafikan beliau. – UTUSAN ONLINE