Gempar! Mayat lelaki berulat di tebing sungai di Padawan

KUCHING: Penduduk di Padawan semalam digemparkan dengan penemuan mayat reput di tebing sungai berhampiran jambatan Sekolah Kebangsaan (SK) Kambug, Padawan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui orang awam, yang melalui kawasan tersebut sebelum menghubungi polis kira kira 7.10 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati mayat lelaki dalam keadaan terlentang itu di atas di permukaan tembok batu.

Mayat yang lengkap berpakaian, berseluar hitam, berbaju coklat lengan panjang bercorak belang serta tidak berkasut itu dipercayai telah mati lebih dari 72 jam berdasarkan keadaan fizikal mayat.

“Keadaan mayat telah berulat di seluruh badannya yang dipercayai telah mati lebih daripada tiga hari.

“Selain itu, polis turut menjumpai beg plastik berwarna merah di sebelah kiri telinga mayat,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Mengulas lanjut, kedudukan mayat dijumpai adalah lebih kurang 15 meter dari atas jambatan ke tebing sungai, yang mana jambatan tersebut merupakan laluan utama penduduk kampung.

Lokasi tempat kejadian juga tidak jauh dari sempadan Kalimantan Indonesia iaitu lebih kurang tujuh kilometer, dan kampung yang berdekatan dengan sempadan tersebut ialah Kampung Sapit.

Bagaimanapun setakat ini tiada laporan orang hilang diterima membabitkan penduduk berhampiran.

Menurut Aidil, proses pengecaman mayat berkenaan juga sukar dilakukan kerana keadaan muka mayat sudah reput.

Sehubungan itu katanya, proses bedah siasat akan dilakukan selepas waris dan identiti mayat dapat dikenal pasti.