Eric Paulsen dilantik wakil negara ke AICHR

PUTRAJAYA 14 Jan. – Pengarah Undang-undang Fortify Liberty, Eric Paulsen hari ini dilantik sebagai wakil negara ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2019-2021.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pemilihan Eric dibuat menerusi proses pemilihan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan secara khusus untuk meneliti dan menilai kesemua calon senarai pendek.


“Kerajaan bersetuju untuk melantik Eric setelah beliau melalui proses pemilihan terbuka dan ini adalah kali pertama Malaysia menggunakan kaedah ini selepas Indonesia dan Thailand.


“Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Edmun Bon yang dilantik sebagai felo di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pelantikan wakil negara ke AICHR di Wisma Putra, di sini hari ini.


Sebagai rekod, wakil Malaysia ke AICHR sebelum ini adalah peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Edmun.


Eric, 46, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of London dan memegang Ijazah Sarjana Undang-undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa dari Kolej Universiti London, United Kingdom.


Beliau merupakan pengasas bersama sebuah organisasi hak asasi manusia, Lawyer For Liberty (LFL) sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif pada 2014 hingga 2018.


Eric juga pernah bertugas di Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan berkhidmat di Bangladesh, Lubnan, Myanmar, Nepal dan Afrika Selatan. – UTUSAN ONLINE.