E-Mutiara sasar 1.3 juta penumpang

KOTA BHARU 14 Jan. – Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) menyasarkan jumlah penumpang lebih 1.3 juta orang pada tahun ini dengan kapasiti 94 buah bas.

Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan penambahan 24 bas baharu yang bebas sepenuhnya karbon monoksida.

Beliau berkata, pada tahun 2018 sasaran pihaknya untuk mencapai 1 juta penumpang telah diperoleh dan tidak mustahil peningkatan 300,000 orang lagi mampu dicapai.

“Setiap tahun kita merangka pelbagai strategi baharu bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan di seluruh negara terus relevan kepada pengguna.

“Jadi kita yakin, berdasarkan beberapa faktor termasuk konsep bas baharu sasaran itu akan dapat direalisasikan pada tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Penghayatan Wawasan Mutiara 2019 di Hotel Perdana, di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 158 ejen tiket dan pemandu diraikan sebagai tanda penghargaan.

Sementara itu, Che Ibrahim yang juga Pengerusi Eksekutif E-Mutiara berkata, syarikatnya akan menggunakan bas bebas karbon monoksida yang mesra alam.

“Pada tahun ini, kami akan keluarkan 24 bas baharu yang bebas sepenuhnya karbon monoksida dan 70 bas sedia ada akan dinaik taraf.

“Pihak kami juga merancang akan memperluaskan perjalanan bas ke negara terdekat termasuk Thailand dan Singapura sekiranya mendapat kelulusan daripada kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE