Dadah dalam kontena untuk pasaran luar negara

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan bahawa sebahagian daripada dadah jenis syabu seberat 569.5 kilogram (kg) yang ditemui di dalam sebuah lori kontena pada Sabtu lalu adalah untuk diseludup ke luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lori kontena berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan menuju le Perlabuhan Pulau Pinang sewaktu ia ditahan.

“Siasatan awal yang dilakukan mendapati sebahagian daripada dadah yang terdapat di dalam kontena berkenaan dipercayai akan diseludup ke luar negara namun masih belum dapat dipastikan negara mana.

“Sebahagian lagi daripada dadah seberat setengah tan itu adalah untuk dibekalkan di pasaran tempatan di seluruh negara,” katanya pada satu sidang akhbar di Bukit Aman di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohmad Salleh.

Menurut Mohamad Fuzi, penahanan lori kontena terbabit telah membawa kepada tertangkapnya tiga individu disyaki ahli sindiket dadah yang terlibat di dalam kegiatan penyeludupan tersebut.

“Tangkapan pertama merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Taiping yang juga pemandu lori kontena berkenaan, turut dirampas dadah disyaki syabu seberat 569.5 kilogram.

“Dalam serbuan berasingan, kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 49 tahun di sebuah premis di Ipoh manakala individu ketiga yang berusia 39 tahun ditahan di Plaza Tol Bidor,” jelas beliau.

Kosmo! semalam melaporkan kejayaan JSJN Bukit Aman mematahkan cubaan penyeludupan beratus ratus kilogram dadah jenis syabu selepas menahan sebuah lori kontena dalam operasi khas di Hentian Sebelah Taiping, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara kelmarin.

Difahamkan, lori tersebut yang membawa kontena berisi syabu ditahan kira-kira pukul 4 petang ketika melalui sekatan jalan di hentian berkenaan hasil kerjasama dengan polis Peronda Lebuh Raya (EMPV).

Muhamad Fuzi berkata, polis turut menyita sebuah pacuan empat roda jenis Hilux dan sebuah lori jenis Isuzu berserta wang tunai berjumlah RM1,768.

“Siasatan lanjut berubung kes ini masih dijalankan oleh JSJN Bukit Aman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan juga dilakukan bagi mengenalpasti dari mana dadah itu diperolehi dan tidak menolak kemungkinan ia dibawa masuk ke negara ini oleh sindiket luar yang yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit,” katanya.

Tambah Mohamad Fuzi, kesemua suspek yang ditahan kini direman selama tujuh hari sehingga 19 Januari depan. – K! ONLINE