Calon Bebas tak gentar lawan dua kerajaan

LIPIS 14 Jan. – Meskipun menyedari cabaran besar sebagai calon Bebas, Sallehudinn Ab. Talib masih menaruh keyakinan peluang untuk bersaing dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Sallehudinn yang ditemui di rumahnya di Felda Sungai Koyan 1 di sini berkata, semangatnya begitu kuat untuk bertanding dalam PRK berkenaan bagi membela masyarakat luar bandar khususnya masyarakat Felda yang masih tidak terbela.


“Kalau dilihat pada masa ini nasib peneroka semakin teruk dan hutang pun tidak berkesudahan dan saya melihat masyarakat Orang Asli pun masih ketinggalan selain orang kampung yang masih memerlukan perhatian, saya mahu membawa suara mereka ke Parlimen.


“Saya lawan dua kerajaan iaitu kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, dari logik akal bagaimana hendak survival kalau tiada semangat dan semangat saya hanyalah untuk membela nasib rakyat,” katanya di sini hari ini.


Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan calon Bebas.


BN yang menyandang kerusi itu mencalonkan Ramli Mohd. Nor manakala PH mencalonkan M.Manogaran selain dua calon bebas iaitu Sallehuddinn Ab. Taib dan Wong Seng Yen.


Salehuddin yang merupakan generasi kedua Felda Sungai Koyan 1 merupakan bekas Pensyarah Kanan Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis.


Beliau yang merupakan anak kedua dari lapan adik beradik mempunyai kelulusan Sarjana Muda Kesusasteraan dan Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarjana Pendidikan (Pengurusan dan Pentadbiran) dari Universiti Teknologi Malaysia. – UTUSAN ONLINE