Calon Bebas bawa media lawat ladang

CAMERON HIGHLANDS 14 Jan. – Ketika calon lain angresif memulakan ‘perang’ kempen sejak dua hari lalu, berbeza pula dengan calon Bebas, Wong Seng Yee yang hanya memulakan kempen pilihan rayanya hari ini.

Lebih berbeza lagi apabila lelaki berusia 41 tahun itu bukan bertemu pengundi terlebih dahulu sebaliknya membawa lebih 15 orang wakil media ke ladang bunga kekwanya di Habu.


Tampil bersahaja memakai topi jerami dan but ‘Phua Chua Kang’, pengusaha dan pengeksport bunga kekwa itu menceritakan serba sedikit mengenai dirinya sambil ‘patuh’ mendengar arahan jurugambar yang ingin merakamkan aksinya.


“Beginilah saya setiap hari dan inilah ‘uniform’ yang saya pakai. Keluarga saya memang terlibat dalam bidang pertanian iaitu tanaman orkid,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Menurut Seng Yee, meskipun telah membazirkan dua hari tempoh berkempen, dia akan cuba bergerak pantas mengganti semula hari berkenaan dengan mendekati pengundi melalui konsep dari ‘pintu ke pintu’.


Menurutnya, biarpun menghadapi kekangan kewangan dan bergerak berseorangan, dia akan tetap turun berkempen dan menyebarkan manifestonya di beberapa tempat.


“Sebagai calon Bebas, saya memang kurang sokongan dan kewangan. Saya nampak parti-parti lain sudah pacak bendera masing-masing namun saya rasa ia amat membazir.


“Saya tidak akan buat begitu (pacak bendera) bukan sahaja kerana bazir tetapi saya tidak cukup duit. Bagaimanapun, saya akan mencetak poster memaparkan logo cangkul yang mewakili saya dan manifesto di lokasi strategik,” katanya.


Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor dengan calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran serta dua calon Bebas iaitu, Sallehuddin Ab. Talib dan Seng Yee.-UTUSAN ONLINE