Anwar tegur ahli PKR

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi teguran kepada anggota parti itu agar berhenti ‘bermain wayang’ sebaliknya menumpukan usaha mengukuhkan permuafakatan dalam parti itu.

Katanya seperti dipetik Malaysiakini hari ini, setiap anggota parti juga perlu memperkemaskan disiplin dan tidak lagi membuat serangan peribadi yang boleh merugikan masa depan PKR.  

“Nak sindir-menyindir, dalam mesyuarat okaylah. Kalau masih terus bermain wayang begini, kalau ada, kita minta supaya dihentikan. 

“Ada segelintir orang dia jadi wakil rakyat biasa, tetapi dia ingat dia lebih daripada menteri besar. Ada yang cuma menjadi ketua cabang, tetapi dia ingat dia sudah menjadi Presiden. Ada..,” katanya seperti dipetik dalam laporan portal tersebut ketika berucap dalam majlis Malam Gala PKR di Shah Alam malam tadi.

PKR berdepan dengan persaingan dalaman apabila parti itu mengadakan pemilihan tahun lalu melibatkan dua kem utama.

Berbeza daripada parti lain dalam negara ini, PKR memberikan hak kepada semua anggotanya mengundi bagi memilih pemimpin daripada peringkat akar umbi sehingga yang tertinggi. -UTUSAN ONLINE