Abang lemas ketika selamatkan adik

HULU TERENGGANU 12 Jan. – Keseronokan 10 sekeluarga menghabiskan cuti di kawasan perkelahan air terjun Belukar Bukit dekat sini berakhir tragedi pilu apabila seorang daripada mereka lemas dalam kejadian petang semalam.

Mangsa, Mohamad Aisar Hisham Mohd. Kamal, 22, lemas selepas dikatakan cuba menyelamatkan adik perempuannya yang juga lemas kira-kira pukul 5.45 petang.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Mohamad Aisar Hisham yang berasal dari Johor Bahru bertindak terjun untuk menyelamatkan adiknya itu namun gagal sebelum mangsa tenggelam ke dasar.

Manakala adik mangsa, Nur Aifaa Diyana, 21, berjaya diselamatkan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Mayat Mohamad Aisar Hisham berjaya ditemukan di dasar oleh pasukan bomba dan penyelemat kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuraidi Mohd. Yusof berkata, lapan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira pukul 6 petang.

“Kita dapati kejadian berlaku apabila mangsa terjun untuk menyelamatkan adik perempuannya yang lemas ketika mandi di situ sebelum mangsa lemas dan tenggelam,” katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE