Usah bangkitkan kedudukan MB Johor – Muhyiddin

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan jika terdapat usaha melobi atau menjatuhkan Menteri Besar, ia bukan sahaja tidak baik untuk individu, bahkan negeri secara keseluruhannya.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kedudukan Menteri Besar Johor tidak seharusnya dibangkitkan demi memastikan kestabilan politik di negeri itu terutama dalam usaha memantapkan kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jika ada sesuatu perkara berbangkit, ahli atau parti komponen boleh menyuarakan perkara itu dalam saluran betul diunjurkan setiap parti antaranya penganjuran konvensyen.

“Dari sudut saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar (Datuk Osman Sapian) sudah menjalankan tugas dengan baik, memanglah sebagaimana Menteri Besar negeri lain yang menghadapi banyak cabaran, masih lagi peringkat baru dan perlu teliti banyak perkara.

“Bagi menentukan politik di negeri ini stabil, kedudukan Menteri Besar tidak seharusnya dibangkitkan, lagipun kita ada peraturan, kalau berbangkit dalam parti boleh menyalurkan dalam parti seperti konvensyen. Ini satu daripada cara.

“Kita mengamalkan dasar demokratik terbuka, tetapi kalau ada usaha untuk buat itu ini, ia tidak baik bukan sahaja untuk individu, tetapi negeri Johor. Jadi kita perlu terima, bagi saya Datuk Osman sudah buat apa yang terbaik setakat hari ni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu wujud cubaan melobi seorang EXCO di negeri itu untuk dijadikan Menteri Besar pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen BERSATU Johor 2018 di Kulai, hari ini.

Hadir sama, Osman yang juga Pengerusi BERSATU dan PH negeri.

Muhyiddin berkata, beliau tidak menafikan Osman pernah beberapa kali bertemu dengannya bagi membincangkan pelbagai perkara bersama.

“Adalah satu, dua perkara yang saya bincang bersama beliau (Osman). Beliau pernah datang jumpa saya, Perdana Menteri untuk dapatkan panduan, itu satu perkara yang saya fikir baik.

“Jadi rakyat perlu beri sokongan supaya kerajaan PH Johor mantap. Itu bagi saya amat mustahak,” katanya.

Semalam, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan istana sedar ada pihak cuba melobi salah seorang EXCO kerajaan negeri dalam cubaan untuk menggantikan Osman.

TMJ dalam akaun Twitternya, berkata: “Anda bukan seorang Perdana Menteri. Apa yang membuatkan anda berfikir dengan cuba melobi seseorang menjadi Menteri Besar yang boleh menjadi boneka anda, anda boleh mengawal Johor?

“Anda melobi seorang EXCO kami menjadi Menteri Besar. Kami tahu itu. Ini bukan lagi 1992. Negeri Johor masih ada Sultan yang memerintah,” katanya.