Torreira penyelamat Arsenal

LONDON: Pemain tengah, Lucas Torreira meledak gol keduanya dalam kempen Liga Perdana Inggeris ketika membantu Arsenal meraih kemenangan sukar 1-0 ke atas Huddersfield Town di Emirates, malam tadi.

Kemenangan meneruskan deretan tanpa kalah Gunners kepada 21 perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan yang membawa pasukan itu ke tangga ketiga liga mengatasi Tottenham dan Chelsea yang beraksi lebih lewat.

Pengendali Arsenal, Unai Emery menggandingkan kedua-dua penyerangnya, Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette tetapi ia tampak tidak begitu berhasil sekali pun deretan peluang terhidang.

Tuan rumah memperoleh beberapa peluang terbaik untuk memecah kebuntuan termasuk memperoleh gol tetapi dibatalkan susulan ofsaid ketika permainan pada babak pertama di Emirates tampak membimbangkan selepas berakhir tanpa jaringan.

Begitupun, tujuh minit sebelum perlawanan berakhir dan berpunca daripada gerakan Aubameyang, Torreira yang sebelum ini meledak gol ketika bertemu Tottenham sekali lagi meledak menerusi penyudah akrobatik menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 1:21 AM