Tak perlu Hazard – Guardiola

LONDON: Pep Guardiola berkata, perpindahan Eden Hazard ke Manchester City tidak akan berlaku sekali pun bintang Chelsea itu mendakwa kelibatnya mampu meningkatkan kualiti pendahulu Liga Perdana Inggeris berkenaan.

Hazard adalah antara pemain bintang di Liga Perdana yang masih belum bersetuju dengan lanjutan kontrak di Stamford Bridge, sedangkan kontraknya bersama The Blues akan berakhir pada 2020.

Penyerang Belgium itu yang akan bertemu City di sini, awal pagi ini berkata: “Ia benar kerana mereka tidak memiliki Eden Hazard. Itu adalah perbezaannya.”

Begitupun ironinya, skuad kendalian Maurizio Sarri itu kini ketinggalan 10 mata di belakang City yang ketika ini memimpin carta Liga Perdana.

Di sebalik kecederaan penyerang, Sergio Aguero, jentera serangan City masih mampu menampung kekosongan ditinggalkan penyerang Argentina itu, jadi Guardiola menolak pendapat yang mengatakan Hazard menjadi buruan penyandang juara itu.

“Ia tidak akan berlaku. Tidak,” kata Guardiola. 

Ketika ditanya betapa bahayanya Hazard kepada benteng pertahanan City, pengendali dari Sepanyol itu berkata: “Banyak. Saya bersetuju dengannya. Dia berkata, saya amat bagus dan saya bersetuju dengannya.

“Buka siaran televisyen, lihat kepadanya, dengan pantas kamu akan dapat melihat kualitinya. Kamu (media) lebih tahu kualitinya berbanding saya. Dia adalah pemain yang menakjubkan. Seorang, setakat ini, antara seorang pemain terbaik di dunia.”

Di Stamford Bridge nanti, City juga berpeluang untuk membalas dendam kepada Jorginho, pemain yang sebelum ini dilaporkan hampir ke Etihad, sebelum pemain tengah Itali itu memilih untuk mengikuti Sarri ke Chelsea.

City sebelum ini turut menawarkan pemain tengahnya, Fernandinho kepada Napoli bagi mendapatkan Jorginho, tetapi Guardiola ketika ini gembira dengan sumbangan pemain Brazil berusia 33 tahun itu.

“Bagi saya, sesuatu yang tidak menyenangkan untuk bercakap mengenai pemain kelab lain. Kita tahu sejarahnya, kami bercakap sebelum perlawanan Piala Perisai Komuniti. Dia memutuskan untuk pergi ke sana. Saya tidak berkata ia keputusan yang buruk.

“Dia mengenali pengurusnya, dia mengenali kelab itu. Chelsea adalah kelab yang menakjubkan. Ia adalah keputusannya dan selamat berjaya untuknya.”