Pulau Pinang gesa pemaju bina rumah mampu milik


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang menggalakkan pemaju agar membina lebih banyak rumah mampu milik di bahagian pulau kerana senarai menunggu bagi kategori rumah berkenaan agak tinggi.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehingga Oktober lalu, seramai 30,726 pemohon berada dalam senarai menunggu bagi rumah kos rendah (LC) dan kos sederhana rendah (LMC).


Menurutnya, selain itu, seramai 12,326 orang sedang menunggu untuk pembelian rumah bagi kategori lain.


“Daripada senarai-senarai ini, majoritinya mereka ini berada di bahagian pulau. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menggalakkan pemaju membina lebih banyak rumah untuk dua kategori ini di bahagian pulau.


“Seperti polisi kerajaan sebelum ini, setiap 150 unit rumah, 30 peratus daripadanya perlu diperuntukkan untuk LC dan LMC, bergantung kepada daerah berkenaan. Syarat ini akan dikenakan kepada pemaju setiap kali mereka membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada media tadi.


Kon Yeow ditemui selepas merasmikan majlis mencabut undi bagi dua projek perumahan mampu milik oleh Sunway Berhad iaitu Desa Kayu Manis dan Rumah Pangsa Harmoni, di sini.


Desa Kayu Manis yang terletak di Batu Maung merupakan pangsapuri 10 tingkat manakala Rumah Pangsa Harmoni di Bukit Mertajam terdiri daripada 17 tingkat.


Tambahnya, setiap pemaju yang tidak membina rumah LC dan LMC mengikut syarat tersebut perlu membayar RM120,000 bagi setiap unit rumah berkenaan.


“Bergantung kepada lokasi projek, ada pemaju yang tidak membina rumah LC dan LMC seperti yang ditetapkan. Namun, mereka perlu membayar RM120,000 bagi setiap rumah tersebut.


“Wang tersebut akan dimasukkan ke dalam Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik untuk membina rumah kategori tersebut di kawasan yang dikenal pasti. Contoh yang ada sekarang adalah projek pembinaan rumah LC dan LMC di Jalan SP Chelliah,” katanya.