Polis Perancis siap saga demonstrasi mega

PARIS 7 Dis. – Pihak berkuasa Perancis bakal menampatkan seba­nyak 89,000 anggota polis di seluruh negara sebagai langkah persediaan menghadapi tunjuk perasaan secara besar-besaran yang dijangka berlangsung esok.

Portal RT melaporkan, ketika kumpulan tunjuk perasaan merancang untuk berhimpun di kediaman Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Istana Elysee esok, pihak berkuasa turut mengerah 8,000 anggota polis ditempatkan di ibu negara ini.

Biarpun kerajaan pimpinan Macron membuat keputusan untuk membatalkan kenaikan cukai minyak, namun ribuan penunjuk perasaan masih berkeras untuk berarak ke kediaman beliau.

Jurucakap kumpulan Ves Kuning, Eric Drouet berkata, Sabtu adalah hari penentuan di Istana Elysee.

Beberapa pegawai kerajaan Perancis sebelum ini melahirkan kebimbangan sekiranya berlaku cubaan rampasan kuasa, selain berharap insiden keganasan dan kemusnahan seperti yang berlaku di bandar raya ini pada ming­gu lalu tidak akan berulang.

Lebih 130 orang cedera dan 400 yang lain ditahan pada 1 Disember lalu manakala empat orang termasuk seorang wanita warga emas maut ketika penunjuk perasaan bertempur dengan polis perusuh.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Perancis, Edouard Phillipe memberi jaminan bahawa protes tersebut akan berlangsung secara selamat dan aman.

Selain itu, lebih 75 unit polis akan ditempatkan di Paris, terutamanya di jalan-jalan utama berbanding 50 unit dalam tunjuk perasaan pada minggu lalu.

Anggota polis juga diarahkan supaya bertindak tegas dengan penunjuk perasaan bagi mengelakkan tercetusnya kejadian keganasan.

Beberapa video yang tular sebelum ini menunjukkan bagaimana pasukan polis perusuh bertempur dengan penunjuk perasaan selepas seorang daripada mereka membaling batu ke arah anggota polis dan menyalakan bunga api di monumen Arc de Triomphe.

Menurut media tempatan, Phillipe akan menempatkan puluhan kereta perisai di jalan-jalan utama di sini, selain pihak berkuasa mengarahkan supaya peniaga di sepanjang Champs-Elysees tidak menjalankan perniagaan esok.

Beberapa pusat tarikan pelancong seperti muzium, tapak budaya dan Menara Eiffel juga diarahkan tutup.