Polis kawal rapi pintu Istana Negara


KUALA LUMPUR 8 Dis. – Pekarangan Istana Negara dikawal rapi oleh lebih 100 orang anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan anggota polis trafik Jalan Bandar di sini seawal pukul 8 pagi tadi.


Dijangkakan Pertubuhan Gabungan Silat Mempertahankan Perlembagaan (Pertahan) akan menyerahkan memorandum berhubung Perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 kepada kepada Yang di-Pertuan Agong, Muhammad V.


Ahli-ahli pertubuhan itu akan berarak dari Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini ke Istana Negara.


Turut kelihatan para pengamal media tempatan yang mula berkumpul sejak pukul 7 pagi.


Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.


Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka tetap diteruskan namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.-UTUSAN ONLINE