PKR, DAP kekal bertanding di Rantau, Cameron Highlands – Tun M

PKR, DAP kekal bertanding di Rantau, Cameron Highlands - Tun M

CALON-CALON yang akan bertanding di Cameron Highlands dan Rantau dalam pilihan raya kecil akan menggunakan logo Pakatan Harapan, kata Tun Dr. Mahathir.

PETALING JAYA : Pakatan Harapan memutuskan agar calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan Parlimen Cameron Highlands ditandingi oleh parti komponen sebelum ini.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu telah dipersetujui dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Harapan yang dipengerusikan beliau hari ini.

“Berkenaan pilhan raya kecil di dua tempat, satu di Cameron highlands, dan satu di DUN Rantau. Kita setuju yang akan mencalonkan ialah parti yang dahulunya mencalonkan calon di situ.

“Tetapi orangnya (calon) kita tak tentukan lagi, dan kita serah kepada parti supaya mereka tentukan siapa calon mereka. Tapi parti tetap parti yang lama,” katanya pada sidang media di sini.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, calon-calon yang telah ditentukan akan menggunakan logo yang sama iaitu logo Pakatan Harapan.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya telah membatalkan kemenangan Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 susulan dakwaan wujud unsur rasuah dan mengarahkan supaya pilihan raya kecil diadakan.

Calon Barisan Nasional itu memperoleh 10,307 undi mengalahkan wakil DAP iaitu M Manogaran yang mewakili Pakatan Harapan dengan jumlah undi sebanyak 9,710.

Sebelum itu, pada 16 November pula, Mahkamah Pilihan Raya Seremban memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.

Ini susulan petisyen yang difailkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk Rantau, Dr S. Streram pada 23 Mei untuk mencabar pengisytiharan kemenangan Mohamad yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).