Pelancong China paling ramai melawat Malaysia

BALIK PULAU – Malaysia merupakan destinasi paling diminati pelancong China dan merekodkan kehadiran paling tinggi ke negara ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau berkata, kedatangan pelancong China menunjukkan peningkatan 20 hingga 30 peratus sekali gus menangkis dakwaan yang mengatakan pelancong China semakin berkurangan mengunjungi negara ini.

“Kami mendapati jumlah pelancong China sebenarnya menunjukkan kenaikan yang mendadak, kalau berdasarkan statistik bulan September tahun ini, jumlah pelancong China yang datang ke Malaysia sudah sama dengan  keseluruhan jumlah pada tahun lepas.

“Jika tahun lalu pelancong China yang datang adalah sebanyak 2.2 juta, pada bulan Oktober tahun ini sudah mencapai 2.5 juta orang dan kami unjurkan mungkin boleh mencapai  sehingga angka 3 juta pelancong,” katanya kepada pemberita pada majlis Fun Ride Kayuhan Boria Sempena Festival Boria 2018 di sini hari ini.

Justeru  dengan peningkatan angka kemasukan itu beliau menegaskan  dakwaan pihak tertentu bahawa kehadiran pelancong China semakin berkurangan  dan mengelak untuk datang ke Malaysia ialah salah. – Bernama