Orang Melayu kena berlari lebih laju – Dr. Mahathir

SHAH ALAM 8 Dis. – Orang Melayu dan bumiputera perlu ‘berlari’ lebih laju dengan memanfaatkan sepenuhnya bantuan serta sokongan yang diberikan kerajaan bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan di negara sendiri.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu perlu merasa malu dengan hakikat mereka sebenarnya miskin dan sepatutnya berusaha lebih 10 kali ganda bagi menyaingi kaum lain, bukannya memilih meninggalkan bandar.

Tegasnya, kerajaan pada setiap masa akan berusaha memberikan peluang yang lebih kepada orang Melayu dan bumiputera, tetapi jika perkara itu tidak dimanfaatkan sebaiknya, kaum majoriti tersebut harus menyalahkan diri sendiri.

“Kita mungkin tidak suka dan boleh nafi tetapi hakikatnya orang Melayu miskin dan kini semakin keluar dari bandar. Kalau orang asing boleh jadi kaya dan menguasai ekonomi tidak malukah kita ketinggalan di negara sendiri? Salah siapa?

“Apakah orang melayu bodoh? Tidak Melayu pintar dan cekap tetapi kalau tidak dimanfaat, tak guna. Kalau kita tahu ketinggalan, kita patutnya berlari lebih laju, berusaha lebih keras, bekerja lebih kuat untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain.

“Saya tidak tahu orang lain tetapi saya malu kenapa bangsa saya masih ketinggalan dan miskin,” katanya ketika berucap dalam majlis Himpunan Mahasiswa, Graduan dan Profesional Muda Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini malam ini.

Dalam pada itu, ketika menjawab pertanyaan mahasiswa, Perdana Menteri berkata, orang Melayu dan bumiputera perlu dibantu serta diberikan peluang yang lebih berbanding kaum lain kerana jika tidak meraka akan terus ketinggalan.

“Kita tidak mahu bandar hanya dikuasai satu kaum sahaja dengan orang Melayu sekadar menetap di luar bandar, sebab itu kita kena terus bantu, orang Melayu masih memerlukan handicap,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE