Najib menuju ke Dataran Merdeka [METROTV]

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama ratusan peserta perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) melafazkan ikrar ‘wala’ sebelum menuju ke Dataran Merdeka. Terdahulu, beliau yang mengenakan baju Melayu merah jambu menunaikan solat Zohor dan sunat hajat di Surau Ar Rahman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 1.45 tengah hari.

Antara lain, ikrar itu bertujuan untuk mempertahankan kesucian agama Islam, hidup dan mati kerana Allah dan Rasul.

Solat hajat berkenaan bagi memohon keselamatan peserta himpunan supaya berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan dan masalah.

Turut kelihatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Najib kemudian bersama peserta bergerak ke stesen LRT PWTC bagi menaiki tren dan turun ke stesen Masjid Jamek.

Najib dijangka disambut oleh presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau dijangka menyampaikan ucapan di perhimpunan itu dan berkongsi pentas dengan pemimpin PAS termasuk presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 2:27 PM