Liverpool pintas City

BOURNEMOUTH 8 Dis. – Perebutan gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin sengit apabila Liverpool kembali merampas kedudukan teratas liga selepas membelasah Bournemouth 4-0 di Stadium Vitality, sebentar tadi.

Penyerang Mohamed Salah menjadi inspirasi kepada kemenangan The Reds apabila menjaringkan hatrik manakala satu lagi gol dihasilkan selepas pertahanan tuan rumah, Steve Cook tertolak bola ke dalam gawang sendiri.

Salah, 26, menceriakan penyokong Liverpool pada minit ke-25 sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-48.

Gol ketiga Liverpool hadir selang 20 minit kemudian hasil kesilapan Cook sebelum Salah meledak hatrik pada minit ke-77.

Liverpool kini mengumpul 42 mata manakala pencabar terdekat mereka Manchester City ketinggalan satu mata dan skuad The Citizens itu akan bertemu Chelsea di Stamford Bridge awal pagi esok (waktu Malaysia). – UTUSAN ONLINE