“Kita bukan manusia yang sempurna walaupun sebahagian daripada kita adalah 'malaikat'”- Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan sebahagian besar barisan kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti ‘malaikat’.

Beliau mendakwa, sebagaimana ‘malaikat’ boleh melakukan kesilapan jadi bukanlah sesuatu yang  mustahil untuk mereka juga berbuat tindakan yang sama.

“Kadang-kala apabila kita pergi ke jalan yang salah, kita akan patah balik tetapi hanya jika perlu. Kita bukan manusia yang sempurna walaupun sebahagian daripada kita adalah ‘malaikat’.

“‘Malaikat’ pun kadang-kala melakukan kesilapan, jadi apabila malaikat buat silap, mereka juga patah balik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden DAP, Gobind Singh Deo.

Dr. Mahathir diminta mengulas mengenai kritikan pelbagai pihak berhubung tindakan beberapa kepemimpinan Kabinet PH melakukan pusingan U selepas memutuskan dasar-dasar kerajaan seperti penangguhan mekanisme pembayaran baharu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diumumkan semalam.

Berhubung keputusan penangguhan potongan gaji berjadual (PGB) yang sepatutnya dilaksanakan PTPTN awal tahun depan, Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu mengubah mekanisme pembayaran tersebut dan akan diumumkan.

“Banyak yang protes, (jadi) kami mengambil kira semua pandangan tersebut. Kami mahu ubah suai, (dan) kita akan umum dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai keputusan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan terhadap para peminjam, Dr. Mahathir berkata;

“Benda tak sangka berlaku, macam PH menang Pilihan Raya Umum (PRU), manusia ada kelemahan dan tidak tahu apa nak jadi dengan kita, macam keluar jalan kena langgar kereta, minta maaflah,” katanya. – UTUSAN ONLINE