Kes Najib, Irwan ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR – Kes pecah amanah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Perkara itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Rozana Ali Yusof selepas membenarkan permohonan pasukan pem­belaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, tarikh bagi pengurusan kes itu akan ditetapkan kemudian.

Terdahulu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu, dua kes melibatkan anak guamnya sudah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Permohonan memin­dahkan kes ini dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah dan akan mempercepatkan proses keadilan,” katanya.

Peguam bela, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Irwan juga mengguna pakai alasan sama untuk memindahkan kes membabitkan anak guamnya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Pada 25 Oktober lalu, Najib dan Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan dana kerajaan sebanyak RM6.6 bilion yang didakwa dilakukan mereka di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.