Kekal parti sama di dua PRK – Tun Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Pakatan Harapan (PH) sebulat suara bersetuju untuk meletakkan calon daripada parti yang sama untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu Parlimen Cameron Highlands, Pahang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD 

Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, calon yang akan bertanding itu walau bagaimanapun akan ditentukan oleh kepemimpinan tertinggi parti masing-masing sebelum dipertimbangkan.

“Kita setuju akan mencalonkan parti yang dahulunya bertanding di situ, orangnya tak tentu lagi. Kita serah kepada parti mereka untuk pilih dan akan dipertimbangkan.

“Parti kekal parti lama untuk bertanding dan mereka akan menggunakan logo Pakatan, bukan PKR. Jangan cakap kita tak adil pula,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden DAP, Gobind Singh Deo.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), calon PH di Parlimen Cameron Highlands adalah M. Manogaran daripada DAP, manakala di DUN Rantau, Dr. S.Streram daripada PKR. – UTUSAN ONLINE