Jangan berani bawa ICERD ke Parlimen


KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada PH agar tidak membawa Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ke Parlimen untuk diluluskan.


Menurutnya, jika perkara tersebut berlaku, pihaknya akan mengerahkan jutaan rakyat di jalan raya untuk menentangnya.


“Mereka (PH) mendapat majoriti mudah (dalam PRU14), mereka berani membawa ICERD. Tapi, kami ahli Parlimen akan bersuara sekiranya kamu berani bawa ke Parlimen. Kami akan kerah jutaan rakyat ke jalan raya,” katanya ketika berucap dalam Himpunan ICERD, hari ini.


Beliau mendakwa, PH mahu merungkaikan kontrak sosial, asas perlembagaan, Islam sebagai agama persekutuan dan hak Melayu serta Bumiputera.


“Kontrak sosial lebih baik daripada ICERD. Kita lebih berbudaya daripada negara Barat yang lebih menghormati hak binatang daripada manusia.


“Di Barat ada orang tua dijaga oleh anjing, Di sini (Malaysia) tidak berlaku, tapi mereka berani bawa ICERD ini. Mentang-mentanglah dapat majoriti mudah,” katanya.


Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, orang Islam yang menempa sejarah dengan orang Melayu ialah kaum awal datang ke negara ini.


“Islam datang ke sini dengan damai. Dengan peniaga mengajar kita berakhlak mulia. Walaupun Islam mengajar berakhlak mulia, tetapi mesti menjadi bangsa berjati diri dan punya kehebatan yang tidak tunduk pada kehinaan,” katanya.


Beliau turut menyingkap sejarah perjuangan orang Islam di negara ini sejak 1511  dalam menentang penjajahan Portugis.


“Mereka tidak takut dengan senjata musuh yang pelbagai. Bahkan pejuang-pejuang Islam termasuk ulama antara yang menentang penjajah sehingga akhir Perang Dunia Kedua dan mendapat kemerdekaan.