Himpunan 812: Ellie Suriati berkebaya putih turun perhimpunan

KUALA LUMPUR: Pelakon Ellie Suriati Omar sudah mula turun ke Himpunan Kesyukuran Penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), pada Sabtu.

Ellie yang berkebaya putih dilihat bersama beberapa peserta himpunan lain di lokasi Jalan Raja Laut, Chow Kit  kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.

Ketika ditemui, aktres berkenaan bersama jawatankuasa Semangat Gelombang Rakyat dikatakan berkumpul di sekitar Jalan Tun Perak bersedia untuk berarak ke Dataran Merdeka sekitar jam 11 pagi.

Ellie yang mewakili Jawatankuasa Gelombang Rakyat berkata kehadirannya bersama rakan-rakan adalah untuk menyedarkan sebahagian anak muda yang didakwa telah hilang jiwa Melayu.

Jawatankuasa yang baru sahaja ditubuhkan 3 minggu lalu, diwujudkan untuk memberi ingatan ataupunmemory recall tentang kehebatan orang Melayu.
Apabila ditanya tentang objektif penubuhan jawatankuasa itu, Ellie berkata, “Ramai orang Melayu terutama orang muda, bukan semua, yang dah hilang jiwa Melayu. Ada yang malu jadi Melayu.”

Ahli-ahli jawatankuasa itu yang majoritinya wanita Melayu Islam dilihat memakai busana kebaya dan baju kurung, berlainan dari peserta-peserta lain yang kebanyakannya memakai baju putih berlambang anti-ICERD.

Antara objektif lain bagi penubuhan jawatankuasa ini ialah untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat tentang isu-isu terkini, terutamanya isu pembantahan ratifikasi ICERD.

Ellie turut menambah, “Ramai yang tidak tahu apakah itu ICERD dan kesannya kepada Malaysia. Bukan sahaja kepada agama Islam dan orang Melayu, tetapi juga perpaduan bangsa.”

Ellie juga menyentuh hal demokrasi negara yang dikatakan akan terancam jika ICERD diratifikasikan. Akibat ramai yang tidak mengenali hak-hak yang telah ditentukan dalam perlembagaan negara, Semangat Gelombang Rakyat mengambil iktibar untuk menyebarkan maklumat tentang perkara ini kepada masyarakat Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan meratifikasikan ICERD.

Bagaimanapun himpunan yang telah dirancang itu diteruskan juga sebagai tanda kesyukuran penolakan yang dibuat kerajaan itu.