Elak terperangkap jerat Vietnam – Cheng Hoe

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe (gambar) memberi amaran agar barisan pemainnya tidak terperangkap dengan jerat pasukan Vietnam menjelang aksi final pertama Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur Selasa depan.

Sebagai rekod, skuad negara berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki buat kali pertama sejak edisi 2014 selepas menyingkirkan pasukan pilihan yang juga juara bertahan, Thailand pada peringkat separuh akhir.

Namun, Cheng Hoe mahu anak-anak buahnya menjadikan perkara tersebut sebagai motivasi untuk menewaskan Vietnam memandangkan pasukannya pernah tewas 0-2 kepada skuad Naga Emas itu pada saingan peringkat kumpulan bulan lalu.

“Kita akui pasukan tidak mempamerkan aksi yang diharapkan ketika tewas kepada Vietnam sebelum ini. Namun, momentum kali ini sangat berlainan selepas pertemuan dengan Thailand selain barisan pemain menunjukkan peningkatan positif.

“Cuma, saya tidak menafikan Vietnam ada ke­lebihan tersendiri kerana mereka telah dibentuk hampir dua tahun untuk menjadi pasukan yang mantap,” katanya ketika ditemui pemberita di Padang MSN, Bukit Jalil semalam.

Bekas jurulatih pasukan Kedah itu juga berharap anak-anak buahnya menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri sebagai satu kelebihan untuk mencari bekalan selesa sebelum pertemuan kedua di Hanoi pada Sabtu depan.

“Saya harap beraksi di Bukit Jalil dapat memberi suntikan semangat kepada barisan pemain kerana ge­langgang tersebut memiliki aura tersendiri.

“Saya juga menuntut agar pemain meneruskan momentum sama ketika bertemu Thailand dengan melakukan asakan demi asakan. Namun, saya akui ia bukan tugas mudah kerana Vietnam berdisiplin selain memiliki pertahanan lebih ampuh,” katanya.